Monday, June 23, 2008

Rizab minyak negara makin susut

Publication : BH

Edition :

Date : 07/06/2008

Page Number : 14

Headline : Rizab minyak negara makin susut

Words : 1043

Byline : Oleh Kamarulzaidi Kamis

Text :


KENAIKAN harga runcit minyak terbaru yang diumumkan kerajaan ternyata
menimbulkan banyak rungutan dan keluhan segenap lapisan masyarakat.
Namun, itu adalah realiti pahit yang perlu diterima ekoran peningkatan
harga minyak global.
Harga kontrak hadapan komoditi itu di pasaran New York semalam melonjak
47 sen ke paras AS$128.26 setong. Sejak Februari lagi, kadarnya kekal di
atas paras AS$100.
Walaupun berlaku kenaikan mendadak 40.6 peratus atau 78 sen kepada
RM2.70 seliter bagi RON97 dan diesel sebanyak RM1 atau 63.3 peratus
kepada RM2.58 seliter, secara amnya ia ternyata masih rendah berbanding
negara serantau lain kecuali Brunei.
Harga runcit RON97 di Singapura adalah RM5.17 seliter; Filipina
(RM4.07); Thailand (RM4.04) dan Indonesia (RM3.46), manakala harga diesel
di Singapura adalah RM4.33 seliter; Thailand (RM3.91); Indonesia (RM3.46)
dan Filipina (RM3.42).
Namun, Malaysia sebagai negara pengeksport minyak juga sering
dibandingkan dengan gergasi pengeluar minyak lain termasuk Arab Saudi,
Iran, Nigeria, Venezuela dan sebagainya kerana harga runcit bahan apinya
lebih murah berikutan pemberian subsidi.
Ini disebabkan ramai masih tidak menyedari bahawa jumlah rizab minyak
negara semakin menyusut dan akhirnya akan menyebabkan Malaysia mula
mengimport minyak menjelang 2014 seperti berlaku di Indonesia, berbanding
negara Asia Barat dan Afrika yang memiliki simpanan pada amnya lebih 30
tahun, manakala jumlah pengeluaran hariannya jauh lebih tinggi daripada
pengeluaran minyak negara.
Dari sudut subsidi pula, bagi ahli ekonomi ia dianggap baik jika mampu
merangsang produktiviti dan pengeluaran seperti subsidi pertanian dan
insentif pembangunan industri. Namun, subsidi minyak dilihat kurang
efisien kerana ia hanya merangsang penggunaan, selain berlaku ketirisan
kerana turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi, warga asing dan
penyeludup.
Ahli ekonomi juga sering berkata "instrumen subsidi baik untuk politik,
tetapi buruk bagi ekonomi". Justeru, tidak hairanlah jika penarikan
semula subsidi menjadi isu yang dimainkan oleh parti pembangkang untuk
kepentingan politik masing-masing.
Kerajaan mungkin sudah mempertimbangkan dengan mendalam sebelum
melaksanakannya kerana apa yang pasti, tindakan itu bukanlah mudah kerana
berisiko tinggi dari segi politik, selain pemantauan dan pelaksanaan
dasar ekonomi makro yang bersesuaian, perlu dibuat bagi meminimumkan
kesan kenaikan harga runcit minyak.
Walaupun ia suatu langkah tidak popular, tindakan berani dan
mengejutkan itu patut dilihat secara positif serta wajar dilaksanakan
bagi mempertingkatkan kecekapan ekonomi dan memaksimumkan peruntukan
sumber yang dimiliki negara, sekali gus memakmurkan rakyatnya.
Dari sudut ekonomi juga, kesan kenaikan harga minyak setakat ini masih
belum dapat dipastikan secara terperinci kerana ia bergantung kepada
tindak balas ejen atau sektor ekonomi terhadap perkara ini. Namun, yang
pasti adalah ekonomi bakal mengharungi tempoh kepayahan dalam jangka
pendek, tetapi memberi manfaat besar dalam jangka panjang.
Lanjutan itu, ekonomi negara kini terpaksa berdepan risiko luaran dan
dalaman, sekali gus menyebabkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dalam
pertengahan kedua tahun ini. Namun, pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun
ini iaitu antara 5.0 hingga 6.0 peratus seperti diunjur oleh kerajaan,
dijangka mampu diperoleh.
Oleh itu, dasar ekonomi makro yang bersesuaian dijangka dilaksanakan
oleh kerajaan bagi mengimbangi permintaan dan penawaran pengguna serta
menghalang risiko kenaikan mendadak kos perniagaan.
Impak langsung daripada kenaikan harga minyak adalah peningkatan kadar
inflasi dalam jangka sederhana dan kembali perlahan pada pertengahan
kedua 2009.
Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka kadar inflasi pada tahun
ini adalah 4.2 peratus selepas mengambil kira langkah penstrukturan
semula subsidi itu, inflasi mungkin naik melebihi kadar itu berikutan
kesan tidak langsung yang mula meresap ke dalam ekonomi.
Ini berikutan perbelanjaan bahan api mewakili 7.4 peratus daripada
bakul Indeks Harga Pengguna (IHP). Oleh itu, kenaikan satu peratus harga
minyak akan menyebabkan IHP meningkat 0.07 peratus.
Sementara itu, isu lanjutan daripada kenaikan harga minyak adalah
risiko tekanan kenaikan gaji yang akan membawa impak kedua kepada ekonomi
dari sudut inflasi jika tidak dikawal dengan baik. Buat masa ini, masih
belum ada tekanan sedemikian berlaku kerana pendapatan purata sektor
swasta pada tahun ini dianggarkan tumbuh 5.9 peratus disokong oleh
pertumbuhan produktiviti benar 4.1 peratus.
Tidak dapat dinafikan, bahan api dan makanan adalah elemen utama dalam
belanjawan masyarakat di negara ini, manakala kenaikan harga minyak serta
barangan makanan pasti mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah,
sekali gus menjejaskan perbelanjaan pengguna.
Kesan besar dijangka akan dirasai golongan berpendapatan sederhana dan
rendah, walaupun sebahagiannya ditampung oleh bantuan kewangan atau
pembayaran tunai daripada kerajaan.
Kaji selidik menunjukkan isi rumah berpendapatan dalam lingkungan RM700
hingga RM5,000 sebulan menggunakan 13 peratus daripada pendapatan mereka
untuk pengangkutan. Oleh itu, peningkatan 41 peratus harga minyak akan
menyebabkan penurunan perbelanjaan dalam barang mahal seperti kereta,
hartanah dan perhiasan serta produk berjenama, selain melancong dan makan
di restoran berikutan kenaikan kos sara hidup.
Dari sudut syarikat pula, kenaikan harga minyak menyebabkan peningkatan
kos perniagaan, justeru, menjejaskan marjin keuntungan dan menyebabkan
mereka terpaksa menurunkan pengeluaran dan perbelanjaan pelaburan.
Pengeluar juga khuatir jika mereka menaikkan harga barang secara
keterlaluan untuk meminimumkan kos itu, mereka bakal kehilangan pelanggan
berikutan persaingan sengit yang berlaku ketika ini.
Dari segi monetari, kadar faedah negara iaitu 3.5 peratus berbanding
berdasarkan jangkaan BNM bahawa inflasi pada tahun ini mungkin melonjak
kepada 4.2 peratus, menjadi jurang kadar faedah benar -0.7 mata peratus,
justeru, menimbulkan spekulasi bahawa BNM terpaksa menaikkan Kadar Dasar
Semalaman (OPR) bagi mengimbangi keadaan itu, sekali gus meningkatkan kos
pinjaman perbankan.
Namun, masih terlalu awal untuk menjangka sebarang kenaikan berdasarkan
ketidaktentuan jangkaan inflasi yang berlaku ketika ini kerana langkah
menaikkan kadar faedah hanya berkesan jika berlaku peningkatan inflasi
disebabkan kenaikan permintaan, manakala kurang berkesan dalam senario
inflasi tolakan kos ekoran kenaikan harga komoditi seperti bahan api dan
makanan.
Sementara itu, jangkaan penjimatan sehingga RM13.7 bilion daripada
penurunan subsidi akan membantu memperbaiki kedudukan defisit fiskal
negara dari semasa ke semasa dan seterusnya meningkatkan penarafan
kedaulatan Malaysia.
Ia menjadi penanda aras kekukuhan kewangan negara berbanding negara
pesaing lain dan sentiasa dipantau oleh pelabur global.
Defisit fiskal sudah menjadi satu isu yang berlarutan sejak Krisis
Kewangan Asia 2007. Keadaan itu berlaku berikutan langkah suntikan modal
untuk merangsang semula permintaan domestik dan luaran yang terjejas
teruk ketika krisis kewangan lalu.
Justeru, kerajaan sebelum ini berusaha memulih semula kedudukan itu
daripada 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2000
kepada 3.1 peratus pada tahun lalu menerusi pengurangan beberapa projek
mega.
Selain itu, penjimatan subsidi juga boleh disalurkan dalam bentuk
bantuan lain bagi membantu golongan yang berhak menerimanya seperti
menstabilkan harga barang makanan, memperbaiki sistem pengangkutan awam,
memantapkan sektor pendidikan, meningkatkan pengeluaran makanan dan
sebagainya.
(END)

No comments: