Monday, June 23, 2008

Langkah perlu dilakukan: Pakar

Publication : BH

Edition :

Date : 05/06/2008

Page Number : 04

Headline : Langkah perlu dilakukan: Pakar

Words : 442

Byline : Oleh Kamarulzaidi Kamis

Text :


KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi berpendapat langkah kerajaan mengurangkan
subsidi minyak adalah tepat pada masanya dan perlu dilakukan berdasarkan
harga minyak global yang kini mencecah AS$130 setong.
Pengarah Eksekutif, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof
Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Karem, berkata rakyat Malaysia
perlu menerima hakikat bahawa subsidi minyak tidak boleh dinikmati
selama-lamanya kerana harga minyak global sudah meningkat hampir 100
peratus dalam tempoh setahun yang lalu.
"Jika pemberian subsidi yang besar ketika ini diteruskan, kerajaan
terpaksa mengorbankan perbelanjaan bagi pembangunan dan jika kerajaan
mahu meneruskan juga dengan projek pembangunan ia terpaksa menanggung
hutang yang besar," katanya.
Katanya, subsidi adalah baik jika ia disalurkan kepada bidang yang
mampu merangsang pengeluaran, tetapi pemberian subsidi minyak yang tinggi
dan diberikan pula secara menyeluruh adalah kurang sesuai kerana ia
meningkatkan penggunaan, di samping wujud ketirisan kerana turut
dinikmati golongan yang tidak layak menerimanya.
Mohamed Arif berkata, bayaran tunai yang diberikan secara langsung
kepada pemilik kenderaan persendirian kapasiti rendah, termasuk pemilik
motosikal amat sesuai kerana ia sampai kepada golongan sasaran, terutama
berpendapatan sederhana dan rendah.
"Bayaran tunai itu juga dijangka menggalakkan rakyat menggunakan
kenderaan jimat minyak dan mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar,"
katanya.
Selain itu, katanya, subsidi berbeza bagi diesel yang diberikan kepada
operator pengangkutan, nelayan dan pemilik kapal akan menggalakkan
penggunaan pengangkutan awam dan mengelakkan kenaikan keterlaluan harga
barang.
Ketua Ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng pula berkata, pengurangan
subsidi secara berperingkat yang dilaksanakan kerajaan dijangkakan tidak
menyebabkan kejutan besar kepada pertumbuhan ekonomi.
"Saya berpendapat kerajaan masih bertimbang rasa kerana mengurangkannya
secara berperingkat bagi meminimumkan kesan inflasi. Jika subsidi
dimansuhkan sama sekali, sudah tentu harga barang dan perkhidmatan akan
meningkat berlipat ganda, sekali gus menyekat pertumbuhan ekonomi,"
katanya.
Yeah berkata, pengurangan subsidi secara berperingkat itu juga
praktikal kerana rakyat negara ini turut menanggung beban peningkatan
harga komoditi lain, khususnya bahan makanan, baja dan sumber tenaga lain
seperti elektrik.
Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi
Alias, berkata pengurangan subsidi itu dijangka dapat memperbaiki
kedudukan fiskal kerajaan.
"Ketika defisit fiskal kerajaan adalah 3.1 peratus daripada Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan kedudukan fiskal berikutan langkah
itu akan memperbaiki aras penarafan kedaulatan negara dan menarik
kemasukan pelabur asing kerana ia adalah penanda aras agensi penilaian
kredit global.
"Selain itu, penjimatan subsidi itu boleh disalurkan bagi bantuan
membendung kenaikan harga barangan keperluan lain khususnya bahan
makanan," katanya.
Ahli ekonomi itu pada umumnya bersetuju bahawa pengurangan subsidi akan
menyebabkan kenaikan harga barang dan berpendapat kadar inflasi mungkin
meningkat ke paras antara empat hingga enam peratus tahun ini.
Mereka juga bersepakat bahawa Malaysia masih mampu mencapai pertumbuhan
KDNK antara 5-5.6 peratus tahun ini.
(END)

No comments: