| KENAIKAN harga runcit minyak terbaru yang diumumkan kerajaan ternyata menimbulkan banyak rungutan dan keluhan segenap lapisan masyarakat. Namun, itu adalah realiti pahit yang perlu diterima ekoran peningkatan harga minyak global. Harga kontrak hadapan komoditi itu di pasaran New York semalam melonjak 47 sen ke paras AS$128.26 setong. Sejak Februari lagi, kadarnya kekal di atas paras AS$100. Walaupun berlaku kenaikan mendadak 40.6 peratus atau 78 sen kepada RM2.70 seliter bagi RON97 dan diesel sebanyak RM1 atau 63.3 peratus kepada RM2.58 seliter, secara amnya ia ternyata masih rendah berbanding negara serantau lain kecuali Brunei. Harga runcit RON97 di Singapura adalah RM5.17 seliter; Filipina (RM4.07); Thailand (RM4.04) dan Indonesia (RM3.46), manakala harga diesel di Singapura adalah RM4.33 seliter; Thailand (RM3.91); Indonesia (RM3.46) dan Filipina (RM3.42). Namun, Malaysia sebagai negara pengeksport minyak juga sering dibandingkan dengan gergasi pengeluar minyak lain termasuk Arab Saudi, Iran, Nigeria, Venezuela dan sebagainya kerana harga runcit bahan apinya lebih murah berikutan pemberian subsidi. Ini disebabkan ramai masih tidak menyedari bahawa jumlah rizab minyak negara semakin menyusut dan akhirnya akan menyebabkan Malaysia mula mengimport minyak menjelang 2014 seperti berlaku di Indonesia, berbanding negara Asia Barat dan Afrika yang memiliki simpanan pada amnya lebih 30 tahun, manakala jumlah pengeluaran hariannya jauh lebih tinggi daripada pengeluaran minyak negara. Dari sudut subsidi pula, bagi ahli ekonomi ia dianggap baik jika mampu merangsang produktiviti dan pengeluaran seperti subsidi pertanian dan insentif pembangunan industri. Namun, subsidi minyak dilihat kurang efisien kerana ia hanya merangsang penggunaan, selain berlaku ketirisan kerana turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi, warga asing dan penyeludup. Ahli ekonomi juga sering berkata "instrumen subsidi baik untuk politik, tetapi buruk bagi ekonomi". Justeru, tidak hairanlah jika penarikan semula subsidi menjadi isu yang dimainkan oleh parti pembangkang untuk kepentingan politik masing-masing. Kerajaan mungkin sudah mempertimbangkan dengan mendalam sebelum melaksanakannya kerana apa yang pasti, tindakan itu bukanlah mudah kerana berisiko tinggi dari segi politik, selain pemantauan dan pelaksanaan dasar ekonomi makro yang bersesuaian, perlu dibuat bagi meminimumkan kesan kenaikan harga runcit minyak. Walaupun ia suatu langkah tidak popular, tindakan berani dan mengejutkan itu patut dilihat secara positif serta wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kecekapan ekonomi dan memaksimumkan peruntukan sumber yang dimiliki negara, sekali gus memakmurkan rakyatnya. Dari sudut ekonomi juga, kesan kenaikan harga minyak setakat ini masih belum dapat dipastikan secara terperinci kerana ia bergantung kepada tindak balas ejen atau sektor ekonomi terhadap perkara ini. Namun, yang pasti adalah ekonomi bakal mengharungi tempoh kepayahan dalam jangka pendek, tetapi memberi manfaat besar dalam jangka panjang. Lanjutan itu, ekonomi negara kini terpaksa berdepan risiko luaran dan dalaman, sekali gus menyebabkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dalam pertengahan kedua tahun ini. Namun, pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun ini iaitu antara 5.0 hingga 6.0 peratus seperti diunjur oleh kerajaan, dijangka mampu diperoleh. Oleh itu, dasar ekonomi makro yang bersesuaian dijangka dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengimbangi permintaan dan penawaran pengguna serta menghalang risiko kenaikan mendadak kos perniagaan. Impak langsung daripada kenaikan harga minyak adalah peningkatan kadar inflasi dalam jangka sederhana dan kembali perlahan pada pertengahan kedua 2009. Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka kadar inflasi pada tahun ini adalah 4.2 peratus selepas mengambil kira langkah penstrukturan semula subsidi itu, inflasi mungkin naik melebihi kadar itu berikutan kesan tidak langsung yang mula meresap ke dalam ekonomi. Ini berikutan perbelanjaan bahan api mewakili 7.4 peratus daripada bakul Indeks Harga Pengguna (IHP). Oleh itu, kenaikan satu peratus harga minyak akan menyebabkan IHP meningkat 0.07 peratus. Sementara itu, isu lanjutan daripada kenaikan harga minyak adalah risiko tekanan kenaikan gaji yang akan membawa impak kedua kepada ekonomi dari sudut inflasi jika tidak dikawal dengan baik. Buat masa ini, masih belum ada tekanan sedemikian berlaku kerana pendapatan purata sektor swasta pada tahun ini dianggarkan tumbuh 5.9 peratus disokong oleh pertumbuhan produktiviti benar 4.1 peratus. Tidak dapat dinafikan, bahan api dan makanan adalah elemen utama dalam belanjawan masyarakat di negara ini, manakala kenaikan harga minyak serta barangan makanan pasti mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah, sekali gus menjejaskan perbelanjaan pengguna. Kesan besar dijangka akan dirasai golongan berpendapatan sederhana dan rendah, walaupun sebahagiannya ditampung oleh bantuan kewangan atau pembayaran tunai daripada kerajaan. Kaji selidik menunjukkan isi rumah berpendapatan dalam lingkungan RM700 hingga RM5,000 sebulan menggunakan 13 peratus daripada pendapatan mereka untuk pengangkutan. Oleh itu, peningkatan 41 peratus harga minyak akan menyebabkan penurunan perbelanjaan dalam barang mahal seperti kereta, hartanah dan perhiasan serta produk berjenama, selain melancong dan makan di restoran berikutan kenaikan kos sara hidup. Dari sudut syarikat pula, kenaikan harga minyak menyebabkan peningkatan kos perniagaan, justeru, menjejaskan marjin keuntungan dan menyebabkan mereka terpaksa menurunkan pengeluaran dan perbelanjaan pelaburan. Pengeluar juga khuatir jika mereka menaikkan harga barang secara keterlaluan untuk meminimumkan kos itu, mereka bakal kehilangan pelanggan berikutan persaingan sengit yang berlaku ketika ini. Dari segi monetari, kadar faedah negara iaitu 3.5 peratus berbanding berdasarkan jangkaan BNM bahawa inflasi pada tahun ini mungkin melonjak kepada 4.2 peratus, menjadi jurang kadar faedah benar -0.7 mata peratus, justeru, menimbulkan spekulasi bahawa BNM terpaksa menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi mengimbangi keadaan itu, sekali gus meningkatkan kos pinjaman perbankan. Namun, masih terlalu awal untuk menjangka sebarang kenaikan berdasarkan ketidaktentuan jangkaan inflasi yang berlaku ketika ini kerana langkah menaikkan kadar faedah hanya berkesan jika berlaku peningkatan inflasi disebabkan kenaikan permintaan, manakala kurang berkesan dalam senario inflasi tolakan kos ekoran kenaikan harga komoditi seperti bahan api dan makanan. Sementara itu, jangkaan penjimatan sehingga RM13.7 bilion daripada penurunan subsidi akan membantu memperbaiki kedudukan defisit fiskal negara dari semasa ke semasa dan seterusnya meningkatkan penarafan kedaulatan Malaysia. Ia menjadi penanda aras kekukuhan kewangan negara berbanding negara pesaing lain dan sentiasa dipantau oleh pelabur global. Defisit fiskal sudah menjadi satu isu yang berlarutan sejak Krisis Kewangan Asia 2007. Keadaan itu berlaku berikutan langkah suntikan modal untuk merangsang semula permintaan domestik dan luaran yang terjejas teruk ketika krisis kewangan lalu. Justeru, kerajaan sebelum ini berusaha memulih semula kedudukan itu daripada 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2000 kepada 3.1 peratus pada tahun lalu menerusi pengurangan beberapa projek mega. Selain itu, penjimatan subsidi juga boleh disalurkan dalam bentuk bantuan lain bagi membantu golongan yang berhak menerimanya seperti menstabilkan harga barang makanan, memperbaiki sistem pengangkutan awam, memantapkan sektor pendidikan, meningkatkan pengeluaran makanan dan sebagainya. (END) |